29 April 2010

.:Mata oh Mata, Kenapa Engkau Liar?:.

Babak 1

Sop: Kau tahu tak, Zetty tu dulu free hair.. Tiba-tiba je datang kesedaran nak pakai tudung.
Meon: Ye ke??!! macam tak percaya je..
Sop: Ha ah.. ok gak la.. dalam majalah sekolah ada lagi gambar dia.. kau nak tengok?

Babak 2

Pada suatu hari Sop dan Meon sedang berjalan-jalan di kotaraya London. Tiba-tiba mereka terlihat kelibat seorang wanita bertudung labuh ala-ala KCB.

Sop: eh, ada gadis mcam dalam KCB la...
Meon: Mana? Mana? Mana?
Sop: tuuu...tengah jalan ramai2 depan Madame Tusod..
Meon: ooooooo..... macam kenal, yang pakai tudung kaler merah jambu tu ke?

Babak 3

Sop dan Meon menyambung kembara cuti Easter mereka di bandaraya Dublin. Cuaca semakin panas.

Sop: astaghfirullahal azim, singkatnya skirt minah saleh tu...tak solehah langsung...! !
Meon: eh ye ke? yang mana satu? Yang skirt oren tu ke?
Sop: tak, yang kaler biru , blouse biru muda tu..
Meon: Ha ah la..betul lah cakap kau...


Ada apa dengan mata?

Untuk jadi hebat, kita perlu menutup dan menundukkan pandangan. Ini bukanlah bermaksud semuanya kena pejamkan mata 24 jam (penat juga tu), atau membina dinding dan tembok batu sepanjang masa atau semasa kuliah-kuliah agama sahaja, tetapi menjaga dan memelihara kedua mata kita daripada MENJADI LIAR.

Apabila datangnya peluang terbentang di hadapan kita, samada semasa sedang berseorangan, atau sedang berdua bersama rakan karib, atau bersama masyarakat umum, kita mestilah bertindak SEGERA dan PINTAR untuk tidak mengamati kecantikan wanita yang terbentang dan segeralah mengalihkan pandangan daripadanya sambil bersyukur dan beristighfar.

''Alhamdulillah, Allah jaga mata dan hati aku. Ya Allah, ampunlah dosa aku, moga Allah beri yang lebih baik''

Allah berfirman;

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar." - [67:12]

Kalau dahulu dia tidak bertudung, atau kurang menutup aurat, perlukah kita menatap gamabr gambar 'lama' itu lagi? Fear Allah brothers... malulah sebab mereka itu sudah diberikan hidayahnya.. Kita bila lagi?

Kalau ternampak kelibat wanita yang berjilbab dan menutup aurat samada di majlis ilmu atau di jalanan, malulah dan pandanglah tempat lain. Itu bukan HAQ mu.. Allah boleh ganti dengan yang lebih baik.

Kalau diberikan peluang melihat aurat wanita, takut dan malulah, kerana itu akan merendahkan darjat matamu dan merosakkan amal, sekaligus hati menjadi lali dan tidak tenteram.

End of part one for Brothers.. please try this at home


SISTERS, WE NEED COMPLEMENTARY ACTIONS.


* Disclaimer dari meja editor: Bahasa yang tidak formal dan lebih bersahaja adalah disengajakan untuk dibaca secara santai dan lebih reader-friendly tanpa menghilangkan mesej sebenar yang ingin disampaikan.

18 April 2010

.:Merebut Saham Anak Muda:.



Para pelajar hanya mengikut perasaan. Tapi ingat, kalau kail panjang sejengkal, jangan laut hendak diduga! seorang guru persatuan berucap di pentas. Beliau memperlekeh pandangan-pandangan anak muridnya yang mengkritik pihak atasan. Segalanya dipukul rata sebagai pandangan semangat tanpa sokongan ilmu apatah lagi pengalaman. Ghurur! kata sesetengah orang.

Perbuatan meremehkan orang muda bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Anak-anak muda itu sering digambarkan sebagai golongan yang berpemikiran singkat, tidak berfikir panjang, mengikut perasaan, belum mengenal realiti kehidupan, malah soal siapa makan garam dulu pun boleh dijadikan persoalan. Malah, alasan yang sama itu jugalah yang digunakan oleh kaum musyrikin semasa mengungkapkan tentang Ibrahim alayhi al-Salaam ketika berhala-berhala mereka dicela.

“(Setengah daripada) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya (berhala)“
[Al-Anbiya’ 21: 60]


Sebagaimana yang diungkapkan oleh ahli Tafsir, kaum musyrikin itu dengan sengaja menggunakan ungkapan ‘pemuda’ atau al-fata kerana mahu meremehkan Ibrahim. Baginda dilabel sebagai anak muda, yang selalunya bertindak secara tidak matang, melulu dan boleh diabaikan sahaja mesejnya.

KELEBIHAN USIA MUDA


Tetapi menjadi orang muda bukan sesuatu yang kurang atau hina.

Kanak-kanak sentiasa tidak sabar mahu menjadi anak muda kerana mengimpikan apa yang hanya dimiliki oleh si anak muda. Orang tua juga terbuai-buai perasaannya apabila mengenangkan usia muda kerana memikirkan apa yang pernah dimilikinya pada usia itu. Usia muda adalah usia yang dicemburui oleh mereka yang tidak memilikinya.

Potensi!

Itulah nilai pada seorang anak muda. Potensi untuk impian dan harapan, hampir tanpa mengenal batasan. Bahkan usia muda itu yang menjadi usia pilihan bagi ahli Syurga.

Abu Sa`id dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Apabila ahli Syurga memasuki Syurga, seorang penyeru akan berkata: (kamu menerima satu janji daripada Allah) bahawa kamu akan terus hidup di dalamnya dan kamu tidak akan mati, kamu akan sihat di dalamnya dan kamu tidak akan sakit, kamu akan kekal muda di dalamnya dan kamu tidak akan menjadi tua, kamu akan sentiasa berasa tenang bahagia dan kamu tidak akan dirundung duka
[Muslim]

Usia emas itu hakikatnya adalah usia muda.

DI SISI ALLAH

Ada tiga kalimah serangkai yang memberikan makna si anak muda.

Pertamanya adalah ghulam. Keduanya adalah fata. Ketiganya adalah syaab.

Seorang anak muda bernama Ibrahim yang diperlekeh oleh kaum Musyrikin kerana menghina berhala sembahan mereka, digelar sebagai fata.

Ia disanggah oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala apabila kalimah yang sama (fata) digunakan pada memuji Ashaab al-Kahf:

“Sesungguhnya mereka itu anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk”
[al-Kahf 18: 13]


Allah Ta’aala gunakan kembali perkataan ‘anak muda’ (fata) itu sebagaimana yang kaum Ibrahim gunakan. Tetapi konotasinya berbeza. Jika anak muda dianggap sebagai ‘orang singkat’ oleh kaum Ibrahim yang musyrik, anak muda dipuji sebagai insan penuh potensi dan simbol survival perjuangan Tauhid di dalam kisah Ashaab al-Kahf.

Semuanya terletak pada nilai iman dan amal soleh. Apabila anak muda itu beriman, dan mereka berusaha pada mengisi makna iman itu, Allah Subhanahu wa Ta’aala memuji mereka dan menambahkan Taufiq-Nya dengan petunjuk dan bimbingan.

Pemuda beriman…nikmat besar bukan hanya pada tuan empunya diri, malah nikmat kepada umat sejagat.

MESRAKAN, JANGAN LAGAKAN

Anak muda dan warga tua, setiap kelompok daripada keduanya memiliki apa yang tidak dimiliki oleh kelompok yang satu lagi.

Anak muda memiliki semangat, kesungguhan pada mendapatkan sesuatu, tubuh badan yang sihat bertenaga serta daya responsif yang optimum. Tetapi mereka harus akur dengan beberapa kelemahan yang ada. Kelemahan yang bukan disengaja, tetapi dek perjalanan hidup yang belum panjang untuk sampai kepada memilikinya.

Itulah pengalaman.

Anak muda kurang pengalaman. Sedangkan pengalaman adalah guru yang berbeza berbanding ilmu. Jika ilmu mengajar manusia menjadi alim (berilmu), pengalaman membentuk manusia menjadi hakim (bijaksana).

Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta’aala sering menggabungkan nama-Nya ALEEM dengan HAKEEM. Seandainya kombinasi ini mahu diteladani oleh manusia, ia mengajar kepada kita bahawa berilmu sahaja tidak memadai. Kesarjanaan bukan jaminan untuk bertindak tepat kerana apa yang harus datang sama adalah hikmah kebijaksanaan. Ilmu menganugerahkan kesarjanaan, masa dan pengalaman menganugerahkan hikmah kebijaksanaan.

Itulah kekurangan anak muda. Masa belum banyak memberikan pengalaman hidup, dan ilmu yang ada belum dimatangkan dengan pengalaman yang perlu.

Berbeza dengan orang tua yang lebih dewasa. Mereka menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Cause and effect banyak yang sudah dilangsaikan dan semua itu menajamkan pemerhatian serta pandangan orang tua.Kalaulah aku buat begini… kata seorang tua.Kalaulah aku tidak buat begitu… keluh seorang yang lain.

Ungkapan-ungkapan itu datang setiap kali seorang tua menoleh ke belakang melihat kembali jejak perjalanan hidupnya. Tetapi kesedaran tentang betul dan salah itu terperangkap di dalam berkalau-kalau, kerana orang tua banyak kekangan. Tubuh badannya semakin lemah, daya bertindaknya mengalami kemerosotan, dan setelah selesa dengan apa yang menjadi kebiasaan, daya responsif terhadap seruan juga tidak pantas lagi.

Justeru bagi si anak muda, berdampinglah dengan orang tua. Bertalaqqilah kalian menadah pengalaman mereka. Minta nasihat dan bimbingan mereka, sabarkan diri dengan kerenah mereka.

Manakala bagi yang telah tua ditelan usia, jangan dibawa pengalaman ke kubur tanpa tinggalan, berdampinglah dengan anak muda. Jangan lokek berkongsi pengalaman dengan mereka. Betulkan silap mereka, tunjukkan potensi mereka. Dalam semua itu, sabarkan diri dengan kerenah mereka.
Jangan pula dimatikan potensi mereka. Seperti ungkapan Nelson Mandela: "When the water starts boiling it is foolish to turn off the heat"

KESAKITAN PROSES MENDIDIK ANAK MUDA

Mengenangkan pada besarnya makna usia muda, mereka menjadi sasaran semua. 90% manusia berfikir dan bertindak menjual barangan dan perkhidmatan mereka kepada orang muda. 10% manusia berfikir tentang cara untuk menyelamatkan mereka. Segelintir manusia, memindahkan fikiran itu kepada tindakan.

Tatkala anak muda diasak dengan pelbagai seruan, kelompok orang berusia yang mahu berusaha mendidik anak muda tidaklah ramai. Kekurangan ini diberatkan lagi oleh kesakitan-kesakitan yang mungkin dialami semasa mendidik golongan anak muda. Mereka itu ada kecenderungan yang ada kalanya memang mudah melukakan orang tua yang lebih berusia.

1. Tak Reti Bahasa

Slm ust. Ana pelajar di Universiti ***. Ana pembaca setia blog anta. Jadi ana nak jemput anta datang berceramah di tempat ana. Berapa cas yang anta kenakan?”

Ia adalah salah satu email yang pernah saya terima daripada seorang mahasiswa. Dengan jarak usia yang mungkin mencecah 15 tahun, di'ana anta'kan oleh seorang anak muda mungkin boleh mengguris rasa dan menghilangkan mood untuk positif kepadanya. Malah silibus sekolah juga ada memberikan saranan tentang keelokan bahasa pada panggilan, juga bahasa surat rasmi. Saya sendiri dek tidak mengetahui sama ada yang menghantar email itu seorang yang lebih muda atau lebih tua, saya tidak lokek pada memanggilnya TUAN secara kasual sebagai tanda hormat dan memilih perkataan yang ’selamat’.

Tetapi anak muda sering salah bahasa. Cakapnya tidak tengok kiri dan kanan. Malah terus bertanyakan rate ceramah, benar-benar mewujudkan rasa tidak selesa. Namun, itulah harga pada usaha mendidik anak muda.

2. Common Sense Belum Terbina

Sebelum sampai rumah untuk ambil ustaz, bagilah miss call, oksaya menghantar sms kepada AJK program. Mereka akan menjemput saya di rumah sebelum subuh untuk dibawa mengendalikan sebuah sesi Training of Trainers (TOT) yang dijadualkan pada jam 6:30 pagi di Cheras. Saya mengingatkan mereka supaya memberikan saya miss call kerana saya tidur lewat malam itu kerana anak yang meragam. Bimbang tidak sedar dengan deringan jam.

Keesokan paginya, saya terbangun jam 4:30 kerana anak menangis mahukan susu. Selepas susu dibancuh, saya bangkit menuju bilik air sambil tangan mencapai telefon. Terkejut benar kerana ada beberapa miss call sudah terpampang dan di hadapan rumah saya ada sebuah kereta sedang menanti.

Antumkah itu?” saya menelefon mereka. “Ya ustaz. Kami takut tak jumpa jalan!” jawab mereka. Subhanallah! Bimbang terlewat kerana mencari arah ke rumah saya, mereka bertolak awal dan tiba di hadapan rumah saya jam 4:30 pagi! Sedangkan lokasi program hanya 15 minit dari rumah. Terkulat-kulatlah saya bersiap dengan kepala yang agak pening kerana baru dua jam melelapkan mata.

Tiba di lokasi program tepat jam 5 pagi. Saya positifkan sahaja peristiwa itu dengan mengambilnya sebagai suatu suruhan daripada Allah agar saya panjangkan Qiamullail pagi itu. Demikianlah harga yang perlu dibayar semasa berurusan dengan Tarbiyah si anak muda.

3. Kuat Mendesak

Ustaz tolong sambung hujah saya. Kawan saya ini seperti hendak murtad! saya dikejutkan dengan panggilan telefon dan kemudiannya sms pada jam 2 pagi. Siapalah ‘budak’ ini? Berdebat jam 2 pagi dan kemudian mengejutkan saya untuk mempertahankannya yang kehabiskan hujah.

Ustaz, saya ingin tahu bolehkah kita menyertai perarakan St. Patrick’s Day? Tolong jawab email saya ini secepat mungkin kerana kami perlu membuat keputusan bagi persiapan kelas, email seorang pelajar dari bumi Shamrock Ireland. Mungkin dia menyangka saya tiada kerja lain. Duduk di rumah melayan hotline telefon dan oncall 24/7!

Anak muda selalu menggelar diri mereka sebagai kelompok pendesak. Desakan mereka bukan sahaja digeruni pemerintah, malah ustaz-ustaz juga sering ditekan dengan desakan yang tidak tentu hujung pangkalnya.

Saya positifkan sahaja kelakuan anak muda yang menyakitkan itu, bahawa mereka adalah kelompok yang berkeinginan tinggi, iaitu sesuatu yang sukar untuk dicari di celah-celah angguk warga tua yang tersandar di dinding mendengar kuliah.

BERSABARLAH

Mendidik anak muda, adalah persiapan diri saya sendiri pada mendidik anak-anak yang semakin meningkat usia. Ia penuh cabaran ia penuh kesakitan. Namun, fadhilatnya amat besar. Mendidik anak muda adalah pelaburan besar kita untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

Justeru itu, selesai mengungkapkan kisah pemuda Ashaab al-Kahf, Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan para murabbi umat akan hakikat ini:

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”
[Al-Kahf 18: 28]


Bersabarlah dengan kerenah anak muda itu. Mereka tidak menginginkan apa-apa kecuali keredhaan-Nya. Maafkan kekurangan mereka, kuatkan semangat mendidik mereka. Jangan dicari habuan dunia, biar pun mendidik anak muda tidak menjadikan dirimu kaya raya.

Sesungguhnya pelaburan saham terhebat yang boleh engkau lakukan, adalah pada menumpahkan ilmu, pengalaman, nasihat, bimbingan dan panduan, kepada ANAK MUDA. Jika anak muda selalu susah mendapatkan khidmat orang tua-tua, saya berusaha menjadikan diri mengisi kelompongan itu. Mahukah kalian menyertainya?



ABU SAIF @ www.saifulislam.com

12 April 2010

.:belajarlah daripada kanak-kanak:.

Sumber: http://hembusan.blogspot.com




Secara umumnya semakin kita dewasa, kita menjadi semakin serius. Serius kita bukan seperti seriusnya para ulama, yang mana serius mereka itu adalah disebabkan sifat warak yang ada pada mereka. Serius mereka kerana hati mereka diisi dengan zikrullah. Sebaliknya serius rata-rata orang awam seperti kita adalah disebabkan permasalahan hidup yang datang bersilih-ganti.

Namun, kanak-kanak adalah satu golongan yang unik. Tidak pernah kita melihat kanak-kanak yang tidak boleh tidur malam kerana memikirkan masalah hutang dua ringgit kepada kawannya. Tidak pernah juga kita melihat kanak-kanak yang tidak lalu makan apabila surat cinta yang diletakkan di bawah meja budak perempuan kelas sebelah, tidak berbalas. Sekarang bandingkan bagaimana jika masalah-masalah seperti ini terjadi kepada golongan orang dewasa seperti kita.

Kanak-kanak, lebih-lebih lagi dari kategori 7 tahun ke bawah adalah golongan yang paling tidak stress di atas muka bumi ini. Dunia mereka seakan-akan bebas dari sebarang masalah.

Saya tidak ingat tarikh tepat bila saya pencen dari menjadi kanak-kanak sepenuh masa. Sedar-sedar saya sudah menjadi remaja, dan kini saya sudah dewasa. Sekarang saya rindukan zaman yang paling indah itu.

Maka disebabkan itu, kebanyakkan orang dewasa akan merindui zaman kanak-kanak mereka. Kalau boleh, saya sendiri mahu kembali ke umur saya 5 tahun, dan kemudiannya berharap agar masa menjadi pegun dan tidak akan bergerak selama-lamanya. Tetapi apakan daya, itu bukan sunnah kehidupan alam ini.

Hai, cukup membazir apabila zaman yang paling bermakna itu hanya dimiliki oleh kanak-kanak. Oleh kerana saya tidak boleh kembali dan hidup di masa lampau, maka saya hanya mampu untuk berfikir seperti kanak-kanak. Saya rasa, ada sekurang-kurangnya 4 rahsia mengapa kanak-kanak kelihatan gembira. Rahsia-rahsia ini biasanya lebih jelas wujud di kalangan kanak-kanak yang berumur 7 tahun ke bawah. Amalkan 4 rahsia ini, insyaAllah keceriaan kita bertambah.

Ini rahsia-rahsianya:


1) Mudah terpesona dan berpuas hati dengan benda-benda kecil

Dari semut di lantai, cicak di siling, sehinggalah kapal terbang di awanan. Mereka mudah terpesona dengan semua benda-benda yang dipandang remeh oleh orang dewasa.

Mereka jarang cerewet dan jarang merungut dengan apa yang diberikan oleh ayah atau ibu mereka. Ketika saya mahu melangkah ke darjah 1, saya masih ingat waktu ayah saya membelikan saya kasut sekolah yang bagi saya sangat murah harganya. Ia bukan dari jenama Bata, Pallas Jazz, dan sebagainya. Jika hari ini, kasut itu mungkin dilabelkan dengan jenama Kasut Cap Ayam.

Tetapi saya tidak kisah sama ada kasut itu berjenama atau tidak, asalkan kasut itu memiliki bahagian yang boleh memantulkan cahaya putih apabila ia disinari oleh cahaya kereta. (Nota tambahan: Ketika awal 90-an, kasut seperti ini amat popular. Di samping memiliki ciri keselamatan, kanak-kanak sekolah yang memakai kasut demikian akan dipandang cool oleh rakan sebaya).

Malangnya apabila kita dewasa, kita susah berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Agak susah untuk mencari anak-anak muda yang tidak tergila-gilakan kasut Nike atau Adidas. Saya bersyukur kerana saya jenis yang tidak terlalu memilih jenama dalam berpakaian.


Kanak-kanak mudah dipuaskan. Itu sebab mereka gembira. Orang dewasa pula susah berasa gembira kerana sentiasa ditipu oleh dunia fatamorgana ini. Elakkan mengejar kesempurnaan dalam hal-hal yang bersifat material ini kerana manusia tidak akan berasa puas selagi syukur tidak menjadi dinding di dalam hati.

Kurangkan mengharap banyak benda dalam dunia ini. Harapan duniawi selalunya mengecewakan.


2) Mudah melupakan dan memaafkan

Ketika saya kecil, banyak kali juga saya bergaduh dengan rakan-rakan sebab tidak puas hati dengan mereka. Tetapi, biasanya pada hari yang sama (atau selewat-lewatnya seminggu), kami akan berbaik semula dan boleh bermain baling selipar, polis sentri dan sorok-sorok seperti biasa.

Segala konflik yang berlaku sebelum itu seakan lesap macam asap, seolah-olah kami tidak pernah bergaduh langsung. Saya percaya anda juga pernah memiliki pengalaman ini.

Selain itu saya juga suka membuli anak buah saya. Kadang-kadang ini menyebabkan mereka menangis dan tidak mahu berkawan dengan saya. Namun demikian oleh kerana kanak-kanak ini mudah berpuas hati dengan benda-benda kecil, saya selalunya akan memujuk mereka dengan membelikan jajan, mengajak mereka bermain game di komputer saya, atau pun membawa mereka jalan-jalan keliling kampung dengan menaiki motorsikal.

Dengan 'rasuah' yang tidak seberapa itu, akhirnya mereka sudah tidak merajuk lagi dan melupakan segala yang telah berlaku. Kadang-kadang dengan hanya berkata kuci-kuci-kuci, pasti mereka akan membalasnya dengan satu kuntum senyuman yang mendamaikan. Alangkah mudahnya mereka 'dibeli'! Andainya orang dewasa juga begitu...

Dua contoh yang saya bawakan itu menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak pandai menyimpan dendam. Mereka mudah melupakan dan memaafkan. Sekarang, adakah mudah untuk kita mencari orang dewasa yang tidak mudah menyimpan dendam? Bagi kanak-kanak, memaafkan bermaksud forgive and forget. Bagi orang dewasa pula, biasanya memaafkan bermaksud 'I can forgive but I can't forget!'

Dalam hidup kita, pasti ada satu dua manusia yang buat kita rasa naik angin, terhina dan sebagainya. Mungkin dia tidak pernah pun datang meminta maaf kepada kita walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa itu memang salah dia. Saya pernah beberapa kali ada pengalaman ini. Konflik antara manusia akan sentiasa muncul, tetapi saya cukup tidak faham mengapa ada sesetengah orang yang mahu menyelesaikannya dengan cara menyimbah minyak ke dalam api.

Saya mahu lebih belajar untuk memaafkan dan melupakan semua orang, tetapi bagaimana harus saya mulakan?

Memaafkan, tetapi tidak melupakan adalah racun untuk hati. Maka, sebelum tidur mari kita maafkan sesiapa sahaja. Eh, anda tidak pernah ke dengar cerita seorang lelaki di zaman Nabi, yang masuk syurga hanya semata-mata dia memaafkan semua orang sebelum tidur?

Ini kisahnya:
Rasulullah sallahu alayhi wassalam pernah berkata kepada para sahabatnya, "Kamu mahu lihat seorang lelaki yang bakal menjadi ahli syurga?" Para sahabat tentulah mahu. Lalu ada seorang lelaki berjalan melepasi mereka. Rasulullah berkata, "Itulah lelaki bakal penghuni syurga".

Salah seorang sahabat ingin mengetahui amalan apakah yang dibuat oleh lelaki tersebut sehingga melayakkannya untuk menjadi penghuni syurga. Lalu dia pun mengskodeng lelaki itu. Dilihatnya lelaki tersebut tidak melakukan Tahajjud ataupun apa-apa amalan yang luar biasa. Dia sekadar melakukan yang fardu
sahaja. Dia hanyalah seorang lelaki biasa, seperti mana kebanyakkan lelaki-lelaki biasa yang ada di Madinah.Rasulullah sallahu alayhi wassalam pernah berkata kepada para sahabatnya, "Kamu mahu lihat seorang lelaki yang bakal menjadi ahli syurga?" Para sahabat tentulah mahu. Lalu ada seorang lelaki berjalan melepasi mereka. Rasulullah berkata, "Itulah lelaki bakal penghuni syurga".

Salah seorang sahabat ingin mengetahui amalan apakah yang dibuat oleh lelaki tersebut sehingga melayakkannya untuk menjadi penghuni syurga. Lalu dia pun mengskodeng lelaki itu. Dilihatnya lelaki tersebut tidak melakukan Tahajjud ataupun apa-apa amalan yang luar biasa. Dia sekadar melakukan yang fard


Sahabat Rasulullah itu menjadi kebingungan, lalu akhirnya dia bertanya sendiri kepada lelaki tersebut tentang apakah amalan yang dilakukannya sehingga Rasulullah mengatakan bahawa dia adalah bakal ahli syurga.

Lelaki itu menjawab, "Satu-satunya yang boleh aku fikir tentang amalan harianku, yang mana orang lain tidak melakukannya, ialah akan aku pastikan yang aku tidak tidur setiap malam dengan hatiku ada menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap orang lain." Itulah rahsia lelaki bakal penghuni syurga.

Jadi jika anda jenis yang liat mahu buat Solat Tahajjud, tetapi teringin mahu masuk syurga, maka ambil iktibar dari kisah tersebut.


3) Kanak-kanak mudah mempercayai orang lain

Ada seorang penculik yang mahu mendapatkan duit dari satu keluarga yang sangat kaya. Keluarga itu ada 2 orang anak. Seorang berumur 6 tahun, manakala yang lagi satu berumur 15 tahun.

Penculik itu akan menculik anak yang mana satu untuk menuntut wang tebusan dari keluarga tersebut?

Kemungkinan sekali, penculik itu akan menculik anak yang berumur 6 tahun itu. Kanak-kanak di waktu umur ini adalah begitu naif sifatnya. Mereka mudah mempercayai orang lain; mereka tidak prejudis kepada sesiapa langsung, baik di kalangan keluarga sendiri atau pun orang luar.

Sebab itu sewaktu kecil, ibu pasti akan melarang kita menerima pemberian gula-gula dari seseorang yang tidak dikenali, takut-takut orang itu adalah penculik.

Sekarang bagaimana untuk kita menggunakan 'rahsia' kanak-kanak yang ini? Semestinya adalah dengan kita tidak terlalu bersangka-buruk, lagi-lagi terhadap saudara seIslam kita. Orang yang mudah bersangka-buruk ini biasanya juga tergolong dalam geng kaki umpat.

Cuba lihat manusia yang suka mengumpat ini. Biasanya ramai orang benci pada mereka. Hati mereka juga tidak tenang kerana ia selalu diisi dengan kisah-kisah gosip dan spekulasi yang entah betul atau pun tidak.



Mengumpat

Apa yang ironinya, orang yang suka mengumpat juga tidak suka bila orang mengumpat tentang dirinya. Apakah rasa seronok di hati kita bila ada orang mengumpat tentang diri kita? Maka, jangan sesekali bersangka-buruk dan mengumpat orang lain kerana Allah itu Maha Adil.

Sebelum itu, fahami apa maksud mengumpat. Mengumpat berlaku apabila kita menceritakan perihal seseorang yang menjadikan dia marah atau benci apabila dia mendengarnya sendiri. Jadi sekarang anda sedar bahawa betapa mudahnya untuk kita termasuk dalam arena sukan umpat-mengumpat ini.

Namun demikian kita tidak boleh percaya 100% kepada semua orang. Maka sifat berhati-hati tetap perlu diamalkan. Tanamkan juga sifat ragu-ragu kepada sesetengah orang, lagi-lagi yang baru dikenali. Ragu tidak bermaksud prejudis. Ragu terjadi apabila kita masih tidak yakin dengan seseorang itu. Prejudis adalah melabelkan atau menghukum seseorang secara negatif tanpa bukti yang sahih dan kukuh.

Kata Sidi Ahmad al-Zarruq:
Jangan meletakkan kepercayaan kepada sesiapa dalam hal-hal yang melibatkan agama, keluargamu, atau hartamu, sehinggalah engkau telah mengujinya sekurang-kurangnya seribu kali.

Dalam erti kata yang lain, kita harus menguji kejujuran dan ke'bolehpakai'an seseorang itu sebelum mahu mengamanahkan mereka dengan sesuatu yang berat.

Di samping perlu bersangka-baik sesama manusia, kita juga perlu bersangka baik kepada Allah. Allah telah berfirman di dalam hadith Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya: "Aku berada pada sangkaan hambaKu....".

Jadi, jika kita rasa Allah sentiasa bersama kita selagi kita mengingatinya, baik di waktu susah atau senang, sedih atau gembira, maka itulah yang akan kita dapat. Kita bersangka-baik terhadap Allah, maka Allah akan bersangka baik-kepada kita. Jika kita fikir Allah tidak mampu membantu kita dalam menghadapi ranjau-ranjau kehidupan ini, maka percayalah, itu yang anda akan dapat.


4) Kanak-kanak hidup dan berfikir untuk masa yang sedang mereka lalui

Mereka tidak begitu risau tentang perkara yang lepas atau perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Dalam kes ini, saya tidak mencadangkan anda untuk tidak langsung memikirkan yang lepas dan yang akan datang.

Kanak-kanak berperasaan riang sentiasa kerana mereka masih lagi tidak tahu apa 'perkara-perkara' yang sedang menanti mereka apabila mereka dewasa kelak. Bagi kita yang sudah dewasa ini, tidak perlu terlalu panik dengan ujian yang Allah beri. Setiap manusia, tidak kira agama dan bangsa, akan ada ujiannya yang tersendiri. Jika kita terlalu panik, maka kita akan lemas di lautan dunia.

Maka rileks... Jika hidup tiada ujian, maka sila semak kawasan sekeliling anda. Mungkin anda tidak berada di Planet Bumi. Jika anda baru sahaja sedar yang anda sedang berada di Planet Bumi, maka saya ucapkan selamat datang ke planet ini. Ahlan wa sahlan! Ini planet yang penuh dengan ujian dan mehnah hidup.

Perkara-perkara lepas, kita ambil iktibar darinya. Perkara akan datang, kita rancang sebaiknya. Tetapi semestinya ada had. Jika had ini dilanggar, maka itu akan membuatkan kita rasa sedih dan gelisah.


Akhir kata, apa kata kita hentikan seketika segala apa yang sedang kita lakukan, bagi membolehkan kita untuk merenung sejenak perjalanan kehidupan ini. Amati tingkah-laku kanak-kanak, dan belajar apa-apa yang patut dari mereka.

Mungkin ada rahsia-rahsia lain yang boleh kita cungkil dari mereka.
---

Tengok-Tengok



Soal-jawab yang Kelakar

.:Adakah Jodoh Pertemuan telah Ditentukan?:.

Buat panduan bersama, soal jodoh dan pertemuan bukan suatu yang mudah untuk diungkapkan kerana kadang-kadang ia terjadi dengan sendiri tanpa kita sedari.

Allah berfirman : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”(Surah Ar-Rum: 21)

Dalam kehidupan masyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan.

Seringkali kita mendengar ungkapan: jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Pendapat ini baik kerana ia dapat mendidik manusia dengan sifat Qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada) tetapi, wujud pula manusia yang terlalu cepat menyerah kepada takdir, tanpa sebarang usaha.

Beberapa pendapat tentang jodoh :

1- JODOH SEBAGAI TAKDIR
“Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti merima jodohnya, baik ataupun buruk.” Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud: “Jodoh di tangan Tuhan makan ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar.

Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu seringkali kita dengar, “Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang.” Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya.

2- MENCARI JODOH
“Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus beriktiar mencari dan memilihnya.” Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.

3- BERIKHTIAR DAN BERTAWAKAL

“Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan.”
Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dalam memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

a. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkawinan berlangsung atas persetujuan anak.
b. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.
c. Anak lelaki atau perempuan mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.
d. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.

Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut. Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi, masalah memilih jooh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua. Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kiat perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia.

Wallahu A’lam.
http://halaqah.net/